Senario A
Aku tak kisah apa nak jadi pada negara ni. Yang penting aku dan keluarga aku boleh hidup selesa. Aku tak nak menyusahkan orang lain dan tak nak menyebabkan orang lain susah disebabkan aku.
Senario B
Biar lah dengan apa yang berlaku di kampus ni. Yang penting biasiswa aku masuk 'on-time', aku siap semua assignment dan lulus semua peperiksaan yang melibatkan ijazah yang aku cita-citakan selama ini.
Senario C
Apa kau susah, mereka bukan anak kau. Biarkan sajalah kalau budak-budak ni nak ber'couple'atau berkawan sesama mereka. Lagi pun mereka dah besar. Kalau pun bunting nanti, pandai-pandailah mereka pergi ke mana-mana klinik untuk gugurkan kandungan atau cari tempat bersalin nanti.
Senario D
Isu Palestin biar orang Palestin selesaikan dengan Israel, isu Syria biar mereka orang Syria urus dengan pemerintah mereka sendiri, isu Pattani biar mereka bincang dengan kerajaan Thailand, kerajaan mereka sendiri. Kita tak perlu sibuk urusan orang lain sebab kita kena jaga anak bini kita dulu.
Sikap Peduli
Sikap peduli adalah sikap ambil tahu dan peka terhadap sesuatu yang berlaku serta memberi tindak-balas terhadap pelbagai hal yang berlaku di sekeliling kita. Rasa peduli, ambil berat atau'caring' adalah elemen yang sangat penting dalam kehidupan kerana ia mengajar kita untuk hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.
Mengambil peduli atau mengetahui masalah secara positif akan menggalakkan seseorang dan masyarakat menjadi prihatin terhadap keperluan ahli komuniti mereka dengan berusaha bantu membantu menyelesaikan atau mengurangkan bebanan mereka.
Rasa peduli ini tentunya dalam batas pengamatan yang mendalam dan keinsafan yang tinggi bahawa setiap kita memerlukan sokongan, bantuan dan perhatian apabila berada di dalam situasi tertentu. Sekiranya sebahagian daripada kita mengalami kesusahan, keperitan dan bencana, tentunya kita memerlukan bantuan atau pertolongan daripada orang lain.
Sekiranya rasa ambil peduli ini subur pada setiap masyarakat kita, ia akan memupuk rasa persaudaraan sesama Islam dan bersifat kemanusiaan sesama mausia tanpa mengira asal keturunan, agama dan bangsa.
Malangnya apa yang berlaku pada masyarakat kita hari ini adalah kerana masing-masing bersikap tidak ambil peduli dengan masalah dan isu-isu yang berlaku di persekitarannya. Contohnya ialah permasalahan kehamilan di kalangan remaja, peningkatan kes jenayah, kes murtad, kes dadah dan rogol yang semakin banyak, amalan rasuah yang subur membiak, kecelaruan identiti di kalangan anak bangsa dan seribu satu macam masalah yang lain.
Jika sikap tak kisah dan tidak ambil peduli terus diamalkan oleh masyarakat kita, bayangkanlah apa yang bakal berlaku terhadap institusi kekeluargaan, budaya kemasyarakatan, kehidupan bernegara dan masa depan umat secara keseluruhannya.
Sikap ambil peduli adalah sikap yang sangat penting untuk disuburkan dan diamalkan di setiap lapisan masyarakat. Seseorang yang sudah dibiasakan dengan sikap ambil peduli atau 'caring' akan mencetuskan pembinaan masyarakat yang berkasih-sayang dan tolong menolong ke arah kebaikan bersama. Ingatlah pesanan Allah swt seperti firmanNya yang bermaksud,
"Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan". Surah al-Maidah ayat 2
Inilah yang menjadikan indahnya kehidupan dan semua ini hanya akan berlaku jika ada sikap saling ambil peduli dan prihatin di kalangan kita. Dalam Islam, perkara-perkara ini memang ditekankan kerana Islam itu sendiri adalah ajaran kemasyarakatan. Islam menekankan perlunya sikap ambil peduli bermula dari sesama ahli keluarga, kaum kerabat, semangat kejiranan dan hidup bermasyarakat, kehidupan bernegara sehinggalah kepada kepedulian umat sejagat.
Ingatlah bahawa mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap orang lain adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama islam yang luhur ini sebagaimana sabdaan Rasulullah saw yang bermaksud,
"Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya"
Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud,
"Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia lainnya."(Hadith riwayat Bukhari)
Jom kita peduli akan ummah kita...
(^_^)...
(^_^)...
No comments:
Post a Comment