aHLAn wasAHLAn
Friday, 27 January 2012
Jika malu, maka hentikanlah tindakan yang sebegitu...
Situasi 1
Seorang Perempuan A sedang mengakses laman sosialnya. Sedang matanya melilau membaca status-status terbaru kenalannya di alam maya, matanya tertancap pada sebuah kenyataan yang hampir meluruhkan jantungnya. Diklik pada dinding profile teman yang menulis. Lalu dibaca satu-persatu kenyataan berbaur amarah dan dendam tersebut. Teman tersebut, Perempuan B sedang menceritakan keburukan seorang teman yang amat dikenali Perempuan A. Malah hubungan itu terlalu akrab hinggakan Perempuan A turut terasa tempias dendam amarah Perempuan B. Perempuan B menzahirkan amarah dalam kenyataannya dan mula ditokok tambah oleh kenalan-kenalan yang lain. Tidak kurang juga yang menenangkan. Tapi lebih ramai yang bagaikan mencurah minyak ke bara api.
Kerana geram dengan kenyataan tersebut, Perempuan A membuka blog peribadinya dan menulis kenyataan balas kepada status di laman sosial tadi. Ya, marah menguasai diri. Geram juga kerana merasakan dirinya turut terpalit dalam dendam lama itu. Dirinya merasakan tidak sepatutnya Perempuan B menghebahkan keburukan rakannya di laman sosial, lalu dia cuba menasihati dalam geram dan setiap bait perkataan bagaikan lontaran ketidakpuasan hatinya yang tidak dapat dijelaskan melalui laman sosial Perempuan B tadi.
Perempuan B lalu terbaca. Aneh, nasihat yang ingin Perempuan A sampaikan bertukar menjadi kenyataan benci dan dendam. Perempuan B lalu mengatakan Perempuan A ingin memutuskan persahabatan dengan dirinya. Sedangkan, bukan itu maksud awal Perempuan A menulis di blognya. Namun, salah faham telah berlaku. Mereka tidak menyelesaikan sesama mereka, tapi hanya membalas serangan di alam maya yang turut disertai kenalan-kenalan yang tidak tahu menahu hujung pangkal cerita. Pengakhirannya, Perempuan A telah dianggap memutuskan persahabatan dalam keadaan dia ingin membela teman lain. Manakala Perempuan B meraih simpati kenalan laman sosialnya yang langsung tidak memberi nasihat kebaikan tetapi hanya menuntut dirinya dibela dari terus berkawan dengan Perempuan A.
Situasi 2
Seorang pekerja perempuan di salah sebuah syarikat minyak di Malaysia sedang menyelesaikan beberapa masalah sebut harga di ruang kerjanya. Deringan telefon berbunyi menandakan panggilan masuk dari bahagian pejabat yang lain.
Pekerja Lelaki : Tolong call supplier untuk tangguh penghantaran ke esok hari (secara berhemah meminta tolong). Ada masalah di ruangan production. Tank ada masalah dan tidak dapat befungsi dengan baik. Mungkin esok baru boleh ready dengan raw material yang baru.
Pekerja Perempuan : Apa? (terkejut barangkali kerana terpaksa membuat panggilan sekali lagi) Mana boleh delay penghantaran. Lagipun supplier dah confirm nak datang hantar hari ini. Masalah tank tak boleh berfungsi awak pandailah cari penyelesaian sebelum tengah hari, dan supplier akan tetap datang hari ini.
Pekerja Lelaki : Sepatutnya tugas awak call supplier. Tak boleh ke tangguh ke esok hari. Tak kanla itu pun nak kena saya ajar. Tugas awak untuk berhubung dengan mereka cuba ringankan masalah production kita sekarang ni. Awak tak tau buat kerja ke?
Terguris dengan kenyataan pekerja lelaki tersebut, lalu pekerja perempuan meluahkan rasa geram dan tidak puas hatinya di laman sosial. Ada yang menghangat lagi situasi dengan mengapi-apikan kenyataan. Dan akhirnya pekerja lelaki muncul membela diri dalam kenyataan balas menerangkan pada kenalan lain duduk sebenar dirinya dalam situasi ini. Pekerja perempuan tidak puas hati, lalu terus-terusan menolak kenyataan pekerja lelaki. Yang memerhati, membaca dan membalas status tersebut ada yang membantu menjernihkan keadaan. Namun, masalah tetap tidak selesai kerana segala-galanya hanya di laman sosial.
Perempuan, Laman Sosial dan Emosi
Dua situasi saya hidangkan dalam artikel kali ini sebagai permulaan kepada ketiga-tiga perkara di atas (perempuan, laman sosial dan emosi) yang akhirnya telah membawa kepada satu titik di mana, telah robek sebuah hubungan persahabatan di antara dua teman dan dua rakan sekerja. Malahan, rakan-rakan lain yang memerhatikan turut terlibat secara tidak langsung sama ada membela sebelah pihak yang lain atau telah tertanam dalam diri mereka beberapa persepsi negatif terhadap pihak-pihak yang terlibat. Akhirnya juga, tiada kebaikan yang terlihat malah keburukan telah dipamerkan sejelas-jelasnya buat tatapan seluruh dunia dan mereka yang mengenali.
Laman sosial, tidak ingin saya fokuskan yang mana kerana anda sendiri sudah arif dengan dunia maya ini. Tujuan utamanya, untuk menghubungkan yang jauh mengeratkan yang dekat, menyebarkan kebaikan bagi mereka yang berIman dan bertaqwa, menghebahkan keburukan dan kerosakan bagi setengah yang lain. Dan sedarkah kalian, wahai Muslimah, wanita-wanita zaman sekarang bahawa laman sosial sebegini telah membuka hijab kita kepada dunia yang penuh tipu daya. Dunia yang kita sendiri cipta, dan hanya dengan benteng tarbiyah sahajalah kita mampu mengawal kerakusan di dalamnya.
Sedihnya, dengan kebejatan teknologi dan kemudahan dunia maya sebegini, ramai Muslimah dan wanita telah merobek pakaian malu mereka secara terang-terangan. Walaupun segalanya hanya berlaku di alam maya, tidak berjumpa secara fizikal, tidak berbicara dari mata ke mata, wanita sudah semakin berani menanggalkan hijab malunya. Kita sudah berani mempamerkan emosi di laman sosial tanpa segan silu, meraih simpati mereka yang mengenali kita, meluahkan emosi, mencari sekelumit nasihat tanpa sedar telah meragut maruah insan lain dan lebih menyedihkan kita sanggup memutuskan sebuah hubungan dengan teman, dengan keluarga dan mungkin saja dengan insan-insan yang sangat menyayangi kita.
Teori Barat
Pengkritik dari gerakan feminist Barat telah mengatakan bahawa wanita perlu bergerak ke hadapan, menafikan semua kenyataan yang juga dibawa oleh fahaman Barat bahawa wanita hanya bergantung pada lelaki, lemah dan tidak bertamadun. Gerakan feminist juga menggalakkan wanita untuk tampil menguasai segala bidang, bersuara menyatakan pendapat dan menentang segala bentuk penindasan fizikal, emosi, dan rohani. Dalam teori ini, terdapat satu terma yang acapkali digunakan iaitu agency atau kebolehupayaan, kuasa, hak kepada individu untuk bertindak menurut kehendaknya, menyatakan pendapatnya, berdiri atas keupayaan dirinya tanpa dihalang oleh mana-mana unsur. Dari sini pula terdapat dua jenis agency iaitu agency secara covert (dalaman) dan agency secara overt (terang-terangan). Hakikatnya, teori ini telah memperkenalkan kepada wanita beberapa kebaikan dalam tidak sedar juga, jika wanita itu tidak dibenteng dengan kekuatan aqidah akan menyebabkan dirinya terjatuh ke lembah kehinaan.
Di sinilah saya ingin membuktikan bahawa, kebolehupayaan wanita kini untuk tampil kehadapan, telah sedikit sebanyak melunturkan warna pakaian malu mereka. Bukanlah saya menentang kaum wanita untuk ke hadapan kerana hakikatnya wanita juga harus bergerak kehadapan, tetapi kenapa sampai begini sekali kita ingin melondehkan sifat malu yang telah Allah kurniakan pada kita? Wanita telah mempertahankan agency mereka secara overt. Bukan lagi secara covert. Tanpa mereka sedar, tindakan overt agency itulah yang melondehkan pakaian malu mereka.
Muncul di laman sosial dengan meluahkan emosi, mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak malu…adakah ini yang kita belajar dari maksud hadith
Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr al-Anshari al-Badri ra. dia berkata, “Rasulullah saw bersabda, ‘Sesungguhnya sebuah ungkapan yang telah dikenal banyak orang dari ucapan nabi-nabi terdahulu adalah: ‘Jika engkau tidak malu, berbuatlah semahumu.” (HR. Bukhari)
Adakah laman sosial kita itu Tuhan untuk kita raih simpati darinya dengan meluahkan segala permasalahan sosial. Lihat sajalah kesannya pada dua situasi di atas, yang akhirnya telah mengoyakkan hubungan persahabatan yang dibina sekian lama dengan hanya satu kenyataan di laman sosial berbaur emosi, amarah, nafsu, geram dan sebagainya. Di mana penyelesaiannya??
Kita sudah tidak malu wahai wanita. Kita malu dalam berpakaian. Tapi tidak malu dalam mengeluarkan kenyataan di laman sosial. Adakah ini yang Islam ajarkan? Hanya sebahagian yang kita jaga, sebahagian lagi kita dedahkan. Kita dah sering dengar, terbaca malah lihat banyak kenyataan tentang menjaga malu dari segi berpakaian. Tapi bab yang satu ini kita terlepas pandang. Kita tidak menjaga malu kita di laman sosial.
Sedih bukan?
Dengan hanya satu kenyataan, kita telah membuka aib diri kita, membuka ruang juga untuk orang lain mengenali aib rakan kita yang sepatutnya kita tegur secara bersemuka bukan dengan cara mendedahkan di ruangan di mana satu dunia boleh lihat dan baca.
Muhasabah wahai diri
Ya, kita ingin membela diri. Kita ingin diberi perhatian, kita ingin mendapatkan nasihat untuk semua permasalahan. Itu fitrah kita sebab itu Allah bekalkan Al-Quran dan Allah utuskan Rasulullah sebagai qudwah. Mulakan dengan langkah ketaqwaan dalam meluahkan emosi, moga dengan izin Allah atas rahmatNya kita beroleh ketenangan dan penyelesaian. Jika emosi dan nafsu yang merajai tindakan kita, maka beginilah jadinya apabila terang-terangan mempamerkan aib di laman maya. Sesungguhnya malu itu hanya akan melahirkan sesuatu yang baik.
Imron bin Hushoin ra berkata: “Rasulullah saw bersabda, ‘ Malu itu tidak akan menimbulkan sesuatu kecuali kebaikan semata.” (HR. Bukhari, Muslim)
Kita muhasabah kembali dengan menyelak lembaran hadith Rasulullah.
Sa’eed bin Musayyeb berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk-duduk bersama dengan para Sahabat. Muncul seorang lelaki lalu dia mencela dan memaki hamun Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu hingga menyebabkan Abu Bakr ‘sakit’ mendengarnya. Tetapi Abu Bakr terus mendiamkan diri. Lelaki itu meneruskan lagi celaan dengan bahasa yang lebih kasar terhadap Abu Bakr, namun beliau masih terus mendiamkan diri. Masuk kali ketiga, apabila lelaki itu terus menyakiti Abu Bakr dengan lisannya, Abu Bakr bingkas mahu menjawab balik.
Lalu Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bangun. Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu bertanya: “Apakah engkau marah denganku wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Tidak. Cuma semasa kamu mendiamkan diri, Malaikat turun dari Langit bertindak terhadap kata-kata lelaki itu. Tetapi sebaik sahaja kamu mula membalas cacian lelaki itu, Malaikat melarikan diri lalu Syaitan datang dan duduk. Aku tidak boleh duduk di tempat yang Syaitan duduk di situ.”
[ Hadith riwayat Abu Dawud]
Muhasabah buat diri saya dan semua yang membaca. Saya fokuskan kepada wanita, kerana saya sayang diri saya dan anda. Maka mari sama-sama bergerak selamatkan sifat malu kita. Seindah hiasan adalah wanita solehah dan wanita solehah itu yang menjaga malunya. Moga Allah golongkan kita bersama-sama muslimah lain yang tinggi sifat malunya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment