Umat Islam perlu menunjukkan sifat syukur yang tak terhingga kepada nikmat terbesar ini iaitu berpuasa di bulan yang mulia lagi diberkati, Ramadhan Al-Mubarak. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183:
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang terdahulu sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)
“Bulan Ramadhan adalah bulan yang didalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara haq dan batil)” (Al-Baqarah :185)
Sesungguhnya, puasa dibulan Ramadhan merupakan satu tuntutan dalam Rukun Islam. Puasa dari zahirnya melaparkan manusia, namun disebalik zahir itu, nafsu manusia akan terkawal. Nafsu merupakan salah satu musuh bagi umat Islam selepas syaitan. Di bulan Ramadhan lah, kita dapat menjaga, mengawal dan mentarbiyyah nafsu kearah kebaikan. Nafsu akan menjadi-jadi bila kita mengisi perut kita dengan makan berlebihan. Apabila berpuasa, nafsu dapat dikawal, ibadat akan menjadi lebih baik dan bertambah.
Istimewa bulan ini, sirah-sirah Rasulullah menunjukkan betapa hebatnya puasa hingga dapat memberi kemenangan dalam beberapa peristiwa penting dalam Islam. Perang Badar, Fathul Makkah, Perang Ain Jalut, Pembukaan Andalus dan banyak lagi. Sama-sama kita mengambil pengajaran dari umat Islam terdahulu yang kuat apabila berpuasa. Umat Islam sekarang memperbanyakkan tidur dan berasa malas untuk membuat ibadat. Jauh bezanya dengan umat Islam di zaman dahulu. Kejayaan yang mereka kecapi adalah hasil dari taqwa yang tinggi dan semangat jihad dibulan Ramadhan.
Ramadhan juga memberi seribu nikmat kepada umat Muhammad S.A.W dengan pengurniaan Lailatul Qadr, turunnya Al-Quran, rahmat, maghfirah dan pembebasan dari api neraka. Subhanallah dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita. Cintanya Allah kepada umat Muhammad lebih dari umat lain kerana Nabi Muhammad S.A.W adalah kekasih Allah.
Ibadat sunnah seperti solat Terawih, solat Tasbih, tadarus Quran, sedekah dan zikir perlu istiqamah dibulan ini dan berterusan selepas Ramadhan. Madrasah Ramadhan salah satu institusi pemntarbiyyahan rohani kita disamping sebagai medan muhasabah dan mujahadah pada diri kita. Sentiasa melatih dan mendidik diri kearah pembentukan sahsiah diri. Istiqamah dalam ibadat, tingkatkan ilmu agama dan jalankan dakwah dibulan Ramadhan ini, InsyaAllah, ganjaran besar akan diberikan dengan usaha yang ikhlas.
Wallahualam.
MUHAMAD HAIQAL BIN SAFIE
Pengerusi HADAF.
No comments:
Post a Comment